Ahad, Jun 26, 2011

Tunggu sebentar!

Buat masa ni saya belum berkesempatan untuk menulis catatan dalam blog ni disebabkan halangan ataupun masalah yang sedang berlaku. Jadi, sabarlah seketika kerana bulan Julai ini saya akan tampil semula dengan catatan baru yang panjang tapi sarat dengan maklumat dan peristiwa yang telah saya alami sepanjang 2 bulan ini (Mei & Jun). Teruskan membaca catatan-catatan saya dalam blog ini dan juga berita-berita dalam BlogHSBHBuletin untuk memuaskan hati anda!

Ahad, Mei 01, 2011

Bekerja untuk semua.

Assalamualaikum untuk semua pengunjung blog saya. Dalam catatan terhad ini saya ingin mengucapkan kepada semua pekerja yang bekerja di Malaysia, tidak kira kerajaan atau swasta, Selamat Hari Pekerja. Selain mereka saya juga 'bekerja' demi memastikan blog ini diisi dengan catatan yang bermanfaat untuk semua. Oleh itu, tidaklah keterlaluan untuk saya 'malas bekerja' buat sementara waktu. Ini kerana saya akan 'berehat' dari menerbitkan catatan buat beberapa hari selepas saya 'cuti' pada musim hari jadi saya pada 22 April lepas. Dan Blog HSBHBuletin juga akan 'direhatkan' seketika daripada menerbitkan catatan. Apapun, terima kasih kerana sudi mengucapkan "Selamat Hari Jadi" kepada saya dan saya akan berusaha untuk menerbitkan catatan baru secepat mungkin. Oleh itu, nantikan perkembangan blog ni dari semasa ke semasa. Saya harus mengundurkan diri dulu; jadi jumpa lagi pada lain masa!

Khamis, April 14, 2011

Kejutan bulan April!

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pengunjung blog saya. Kali ni saya agak lambat sedikit membuat catatan kerana masalah-masalah tertentu yang sukar dielakkan; bagaimanapun saya akan membawakan anda keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saya tahun lepas yang agak mengejutkan semua (yang mana anda tertanya-tanya sebelum ni, mana dia keputusannya?). Terlebih dulu saya ingin memohon maaf kepada kedua ibu bapa saya kerana menyiarkan keputusan SPM yang sebenar yang didakwa mereka jika disiarkan boleh mendatangkan malu kepada keluarga. Apapun, sekali lagi saya ingin memohon maaf tetapi biarlah ia menjadi pengajaran buat semua termasuk saya sendiri yang merupakan calon SPM tersebut. Berikut ialah imej yang memaparkan keputusan SPM saya.















Untuk melihatnya secara lebih jelas, sila klik kanan dan klik 'Open Image' untuk melihat imej tersebut dalam tetingkap yang sama.
Jika anda lihat di sini, tiada sebarang 'A' pun yang saya dapat; cuma yang paling dekat untuk gred 'A' ialah 'B+' saja'; tu pun bukanlah Bahasa Melayu. Mata pelajaran lain, paling rendah grednya ialah gred 'E' iaitu Kimia dan Matematik Tambahan. Mata pelajaran lain boleh disemak sendiri melalui imej tersebut.
Jadi, jika anda ingin memberikan pandangan atau ulasan yang bernas, lakukannya dengan menuliskan ulasan di bawah catatan saya ini.
Jadi, kita tinggalkan dulu cerita SPM ni, beralih pula kepada ujian memandu yang saya lakukan pada 29hb Mac yang lalu (sebenarnya, ujian menunggang motosikal). Syukur, saya lulus dalam ujian tersebut walaupun membuat sedikit saja kesilapan yang kecil. Namun, apa yang saya simpulkan di sini, kejayaan hanya datang setelah kita berusaha dan bertawakal kepada Tuhan yang Maha Esa. Tapi jika dibuat analisis mengenainya, saya lebih berjaya menunggang motosikal daripada pelajaran di dalam kelas. (Janganlah disalahtafsir; saya bukan berniat tidak suka belajar, tetapi ia diambil daripada apa yang saya dapat dari kedua-dua ini.)
Baiklah, kita tinggalkan cerita-cerita tu; tapi saya tidak mahulah sesiapa yang membesar-besarkan cerita ni hanya untuk mencari 'publisiti' dari pihak-pihak tertentu. Bulan ni merupakan bulan April, di mana bulan hari lahir saya, iaitu 22hb April ni; dan pada 11hb April lalu saya telah menerbitkan satu blog baru iaitu BlogHSBHBuletin yang dicipta untuk berita, ulasan dan analisis. Pastinya blog ni dikelolakan sendiri oleh saya; dan saya akan mengemaskinikan blog tersebut untuk catatan baru seminggu sekali. Kalau blog ni (yang anda tengah baca sekarang), bila-bila masa saya boleh kemaskini (update). Apapun, jika anda ingin lihat dan baca berita-beritanya bolehlah pergi ke bloghsbhbul.blogspot.com.
Lagi 'kejutan' bulan ni, ada dua program realiti terhangat, disiarkan sepanjang bulan April ni di Astro, antaranya Akademi Fantasia musim ke-9 yang dikatakan musim yang terakhir, sedang ditayangkan. Nak tahu lebih lanjut, lawati laman web ni: www.akademifantasia.com.my ataupun melalui laman web Astro: www.astro.com.my dalam pautan Astro Sites. Satu lagi program yang dijangka berlangsung pada 29 April, ialah Imam Muda musim ke-2 yang difahamkan mendapat perhatian daripada media antarabangsa dan satu-satunya program realiti Islamik paling popular di negara ni.
Jadi, sebelum mengakhiri catatan saya pada kali ni, saya meminta anda semua (Muslim terutamanya) supaya mendoakan saya selamat sejahtera dan diberkati sempena hari jadi/ulangtahun kelahiran saya pada 22hb April ni. Doakan dengan ikhlas ya! Jadi saya ingin berhenti di sini dulu, saya akan bersambung membuat lagi catatan saya akan datang. Assalamualaikum dan jumpa lagi!

Jumaat, Mac 18, 2011

Berita terkini!

Assalamualaikum. Hari ni saya ada berita terkini untuk disampaikan; kali ni keputusan Sijil Pelajaran Malaysia 2010 (SPM 2010) jatuh pada 23hb Mac 2011. Jadi dari tarikh saya keluarkan catatan blog ni ada masa lagi untuk anda semua mendoakan kejayaan dalam keputusan SPM saya. Tanpa sokongan anda semua saya tidak akan mengecapi kejayaan semasa keputusan SPM keluar nanti. Yang pastinya, doa ni bukan untuk saya saja; malah untuk rakan-rakan calon SPM yang lain. Sejurus selepas keputusan SPM keluar nanti saya akan umumkan keputusannya dalam blog saya nanti.

Selain tu, dunia 'dikejutkan' dengan bencana besar iaitu beberapa gempa bumi dan bencana tsunami yang melanda Jepun baru-baru ni. Jadi, saya ucapkan takziah kepada mangsa-mangsa yang terlibat. Moga di negara kita bencana ni tidak berlaku.

Apapun, teruskan bercuti selagi ada masa lagi, tinggal baki 2 hingga 3 hari lagi; yang pastinya hati saya berdebar menantikan saat keluarnya keputusan SPM. Selamat kembali ke sekolah pada Ahad/Isnin ni dan selamat menantikan keputusan SPM. Sebarang berita terkini saya akan ungkapkan dalam catatan blog yang akan datang. Jumpa lagi!

LAMPIRAN DAN PAUTAN:

  1. Keputusan SPM 2010 di ahmadsabri.net:
    http://www.ahmadsabri.net/tag/keputusan-spm-2010/
  2. Sumber asal di mana keputusan SPM 2010 dikeluarkan di laman Web NST:
    http://www.nst.com.my/nst/articles/3ef33/Article?ref=nf

  3. Video bencana tsunami yang melanda Jepun boleh didapati di Youtube dengan menaip perkataan "tsunami jepun" di enjin carian Youtube.

Selasa, Mac 01, 2011

Mac penuh debaran.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada pengunjung blog saya. Kali ini saya ingin menulis lagi catatan pada bulan ini kerana bulan ini banyak peristiwa dan perkara menarik yang bakal berlaku. Pada masa ni, saya sedang mengikuti amali latihan semasa kursus menunggang motosikal untuk mendapatkan lesen memandu (ataupun menunggang motosikal). Kursus ini sebenarnya mendidik orang ramai terutamanya yang baru menunggang motosikal supaya menunggang dengan berhemah dan selamat dan juga untuk menjaga keselamatan penunggang. Ada orang bertanyakan kepada saya, "Motor saja ke? Kenapa tak ambil kereta sekali?". Saya menjawab, "Saya kena belajar dulu menunggang motosikal kerana ia mudah berbanding kereta.". Lagipun, ia atas kehendak kedua ibu bapa saya dan saya sendiri ingin belajar dulu menunggang motosikal. Insya-Allah, dalam beberapa tahun yang terdekat saya akan mula belajar memandu kereta (walaupun sebenarnya saya suka memandu kereta) dan dikatakan oleh kedua ibu bapa saya, saya akan berbuat demikian ketika adik saya, Hazem Shaqirin ingin belajar menunggang motosikal. Lokasi pembelajaran kereta dan motosikal yang terdekat (dalam daerah Dungun) ialah di Institut Memandu Wimozad di Kampung Tanjung Minar, Pulau Serai. Jadi, sesiapa ingin belajar memandu bolehlah ke sana. Buat masa ni, saya masih lagi menjalankan amali latihan menunggang selama 8 jam (lebih kurang) dan seterusnya saya bakal melakukan ujian menunggang motosikal tidak lama lagi. Kepada semua, saya minta anda semua mendoakan yang terbaik supaya saya lulus dalam ujian ini.

Apapun, saya sedang menantikan keputusan peperiksaan SPM 2010 yang saya telah ambil pada November-Disember tahun lepas dan keputusan bakal dikeluarkan pada Mac iaitu bulan ini; sama ada sebelum cuti sekolah ataupun selepas cuti; yang menjadi masalahnya ialah tarikh pengeluaran keputusan tersebut. Ia mungkin 20, 24 atau 28hb Februari tapi ia telah berlalu. Sekarang, ia mungkin 14 atau 23hb Mac, tapi saya tidak pasti. Jadi sesiapa yang mempunyai tarikh yang sebenar, sila komenkannya dengan menulis tarikh sebenar atau ramalan tarikh anda itu pada ruangan Ulasan di bawah catatan. Daripada 'banner' halaman ini, saya telah 'merayu' kepada semua pengunjung blog supaya mendoakan saya dan rakan-rakan calon SPM yang lain mendapat keputusan cemerlang dan membolehkan saya dan yang lain mencapai pengajian tinggi di universiti dan kolej tempatan. Diharapkan dengan doa anda semua membolehkan kami berjaya.

Sepanjang bulan ni juga banyak kejutan sedang berlangsung, antaranya kebangkitan kuasa rakyat di negara-negara Arab dan juga ada dua pilihan raya kecil yang berlangsung di Merlimau dan Kerdau sekarang ni. Diharapkan supaya pilihan raya berlangsung dengan aman dan bebas daripada kekecohan. Apapun, semua ni kita sedang saksikan sekarang dan perkembangan terkini terus kita terima melalui berita.

Mengakhiri catatan kali ini, saya berharap segala pekerjaan yang dilakukan akan mendapat berkat daripada Allah. Tambahan pula ada cuti pertengahan penggal pada pertengahan bulan Mac. Jadi isikan cuti pertengahan penggal dengan perkara atau aktiviti yang bermanfaat dan berguna kepada diri sendiri dan masyarakat. Jumpa lagi dalam catatan akan datang kerana banyak lagi saya akan kongsikan bersama. Selain itu, teruskan melihat keseluruhan blog dan membaca catatan blog yang lepas dalam MYHSBHBLOG; Blog Berciri Peribadi.

Ahad, Januari 16, 2011

Kenangan semasa jamuan akhir tahun 5A 2010.

Berikut ialah sebuah persembahan slaid tentang gambar-gambar semasa Majlis Jamuan Akhir Tahun Tingkatan 5 Amanah pada November 2010 yang lepas.
[Anda boleh lihat gambar asal apabila anda klik pada persembahan ini dan juga boleh memuat turun gambar ini untuk koleksi peribadi anda. Jika anda ingin memaparkan gambar-gambar ini untuk blog atau laman Web lain yang sesuai mestilah mendapat keizinan dengan menuliskannya pada Ulasan di bawah catatan. Terima kasih kerana menonoton.]

Tahun baru, era baru.

Assalamualaikum dan selamat tahun baru 2011 kepada semua. Saya kembali dengan lebih lagi catatan blog yang saya ingin kongsikan. Tetapi, saya ingin mengemaskinikan blog untuk memberikan sentuhan baru kepada blog saya dan ni dapat dilihat pada penghujung bulan Januari, tetapi ia memerlukan sedikit masa untuk pengubahsuaian. Tahun yang baru mestilah disertai dengan azam dan harapan yang baru, bukan saja kita hanya menyambutnya. Harapan saya pada tahun baru agar saya memperoleh kejayaan dalam segala bidang yang saya ceburi.
Pada tahun ni saya telah menamatkan persekolahan saya pada Tingkatan 5 dan bercita-cita untuk ke universiti tempatan untuk melanjutkan pelajaran. Saya juga sedang menantikan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010 yang dijangkakan keluar pada bulan Mac nanti. Sambil tu, saya banyak menggunakan masa sepanjang 3 bulan pertama ni di rumah, membuat macam-macam aktiviti. Pada awal bulan Januari, saya telahpun lulus ujian teori memandu di Dungun dan ingin memiliki lesen motosikal. Jadi, saya harapkan semuanya berjalan dengan lancar supaya saya dapat memperoleh lesen tersebut kerana saya ingin menggunakan motosikal di samping menggunakan basikal untuk ke mana-mana tempat.
Tahun ni banyak kejutan dan peristiwa menarik yang bakal kita sama-sama lalui. Oleh itu, jadikan tahun ni, tahun yang terbaik kita pernah lalui. Apapun, teruskan bersama MYHSBHBLOG kerana banyak lagi catatan blog dan beberapa pengubahsuaian akan dilakukan sepanjang tahun ni. Pastinya blog saya merupakan Blog Berciri Peribadi. Jumpa lagi dalam catatan akan datang!
[Dalam catatan seterusnya, saya akan menyertakan koleksi gambar-gambar saya dan rakan-rakan saya semasa Majlis Jamuan Akhir Tahun Tingkatan 5 Amanah pada November tahun lepas. Ia juga boleh disaksikan di halaman 'Aktiviti dan Galeri' dalam blog ni. Selamat melihat gambar-gambar yang sudah disertakan pada catatan seterusnya!]
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...